Friday, July 16, 2010

Melayu lemah kerana dendam, kesumat, hasad dan dengki

Sedarkah kita bahawa perpaduan kita kini semakin terurai? Seolah-olah kita dambakan kehancuran. Sedarkah kita bahawa ketuanan kita semakin dicabar? Seolah-olah kita pendatang yang menumpang kemakmuran Tanah Melayu. Sedarkah kita bahawa kedaulatan kita semakin diasak? Seolah-olah kita bangsa lemah yang boleh diganyang dan dimamah sembarangan.

Semestinya kita sedar akan hakikat ini. Kita tahu kekuatan kita semakin menghilang. Kita sedar maruah kita semakin tergadai. Kita mengerti masa depan kita semakin tidak keruan. Kita pasrah Tanah Melayu yang diwarisi ini makin terlerai daripada genggaman kita. Namun, kita masih enggan memulihkan keadaan. Kita hanya berani menunjuk kekuatan terhadap sesama kita. Hanya tahu menghela amarah kepada bangsa sendiri. Tidak sanggup bangun menghulur tangan memohon maaf dan menggengam erat membina kembali kekuatan.

Insaflah saudaraku sekelian, Melayu bukan lagi bangsa yang dihormati. Kita bukan lagi dianggap tuan di Tanah Melayu, apa lagi sebagai penguasa di Nusantara. Kemasyuran kita sudah lama terkubur. Bangsa yang gah dan perkasa suatu ketika dulu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah bangsa yang lemah dan berpecah. Melayu telah layu. Gara-gara dendam dan kesumat serta hasad dan dengki sesama bangsa yang membaluti hati kita.

Saudaraku, kembalilah bersatu. Hentikanlah segala sengketa sesama kita. Perbaharuilah azam dan tekad kita. Letakkan semula perjuangan kita di landasan yang sebetulnya. Jadikan Tanah Melayu sebagai wadah perjuangan bangsa. Pertahankanlah warisan kita. Berdamailah, demi bangsa, nusa dan agama.

No comments:

Post a Comment