Tuesday, September 21, 2010

Haramkan tayangan filem Tamil yang punyai keganasan melampau

KUALA LUMPUR: "Jangan hanya tapis tetapi haramkan filem dan drama Tamil yang mempunyai adegan keganasan melampau".

Itu adalah gesaan yang dibuat oleh pemimpin masyarakat dan ahli akademik yang bimbang dengan peningkatan gengsterisme di kalangan belia India di negara ini.

Presiden Malaysia Hindu Sangam, R.S. Mohan Shan, berkata sesetengah filem Tamil menunjukkan belia cara untuk terlibat dalam jenayah, dengan ada antara kaedah yang digunakan sebenarnya tidak berlaku dalam dunia nyata.

"Semua itu sebenarnya hanya untuk hiburan...tetapi memandangkan belia India kita sangat terpengaruh dengan filem, mereka ingin meniru aksi itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang paling merisaukan ialah drama Tamil yang disiarkan di televisyen tempatan dan diimport dari India juga mula menunjukkan unsur negatif seperti gengsterisme, tidak seperti sebelum ini.

"Jika kita boleh lihat di pertengahan drama, kebanyakan adegan menunjukkan nilai negatif...kita hanya boleh melihat nilai-nilai murni pada akhir cerita," katanya.

Sambil membandingkan dengan cerita lama yang biasanya menggambarkan nilai murni dan positif, Mohan berkata situasi itu kini berbeza kerana filem sekarang lebih banyak menunjukkan elemen buruk dengan ada antaranya menunjukkan pelakon terkenal yang memegang peranan utama turut memainkan watak jahat.

Mohan menggesa lembaga penapisan mengambilkira semua perkara itu dan mengawal filem seumpama itu memandangkan masalah gengsterisme berlaku di seluruh negara.

"Mesti ada orang yang tepat dalam lembaga penapisan untuk mengawal filem-filem Tamil sebelum ia dibenar ditayang kepada umum," katanya.

Akhbar harian hari ini menyiarkan kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa beliau akan membawa isu untuk mengawal filem Tamil yang menunjukkan aksi gengsterisme ke mesyuarat Kabinet esok.

Penysarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya S. Supramani yang senada dengan Mohan, berkata lembaga penapisan tidak seharusnya membenarkan filem Tamil yang mempunyai unsur ganas ditayang kepada umum.

Beliau berkata filem yang mempunyai elemen negatif seperti gengsterisme semakin banyak di pasaran berikutan meningkatnya permintaan daripada penonton
Supramani berkata beliau percaya pengarah filem India akan menukar konsep dalam cerita mereka jika lembaga penapisan dan orang ramai tidak menyokong filem seumpama itu.

"Jika ada permintaan tinggi daripada kita, sudah tentu mereka (pengarah) akan terus mengeluarkan filem-filem ganas sepanjang masa," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata filem dan drama Tamil juga mempunyai nilai murni dan menyatakan bahawa masyarakat India seharusnya hanya mengambil nilai-nilai yang baik.

Presiden Kelab Bell Belia Tamil K. Murali merasakan jumlah filem Tamil yang menyumbang kepada peningkatan kegiatan gengsterisme di kalangan masyarakat India di negara ini adalah sedikit.

"Saya tidak menafikan kesannya...tetapi ia sebenarnya tidak banyak kerana masih ramai belia India yang tidak terpengaruh dengan aksi ganas dalam filem walaupun kerap menyaksikan filem-filem seumpama itu

"Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada dia mahu mengambil nilai baik atau buruk," katanya.

Beliau turut menggesa belia India untuk terlibat dalam aktiviti sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan peluang dan kehidupan yang lebih baik pada masa depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment