Friday, September 24, 2010

Apa dah jadi?

dipetik dari blog MP Kulim Zulkifli Noordin

Teman agak terkejut membaca lapuran bahawa sebuah Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Minyak Kelantan mengadakan perancangan membawa 40 orang ustad untuk sembahyang di Masjidil Haram untuk mendapatkan royalti minyak daripada Petronas (lapuran penuh teman siarkan dibawah yop). Teman dah check dan double check lapuran tersebut untuk pastikan kesahihannya (pase teman tak mau jadi macam setengah pak-pak jangoat main rembat je apa pemfitnah dan pembohong sumbatkan ke kepala dema yop, peh tu ngembek sakan macam fitnah tu betoi, langsung tak check walaupun ALLAH suruh check dulu). Dan teman dapati memang lapuran tu betoi yop.

Sebenarnya tak salah buat sembahyang ni dan doa mintak pada ALLAH, tapi yang mengejutkan teman kos sembahyang di Mekah ini ialah RM400,000-00!! Dekat setengah juta yop!!

Isyk..isyk..isyk..tak boleh ke sembahyang hajat tu buat di Stadium Kota Bharu je yop! Atau kat Stadium Darul Aman Kedah ke, atau mana-mana masjid yang berlambak dalam negara ni.

RM400,000-00 kalau bagi orang miskin buat rumah RM25,000-00 sebijik dah lebih 15 rakyat miskin dapat rumah. Kalau bagi fakir buat haji, 45 orang susah dah selesai tanggungjawab menunaikan rukun Islam. Banyak boleh buat dengan RM400,000-00 tu yop!!

Teman tak mau nak komen banyak sangat, nanti pak jangoat terkentut-kentut pulak. Tapi mengkome semua pikio sendiri lah yop. Naik riso juge teman dengan keghairahan dema mengejor royalti ni. Kalau pikio balik-balik yop, agaknya ada hikmahnya kot ALLAH tak bagi royalti ni. Tau ajelah yop, bab duit ni, jangankan ustad, adik beradik pun sanggup berbunuh yop!

Malahan Rasulullah saw sendiri pernah berpesan (lebih kurang mafhumnya), "aku tidak takut kamu (umat Islam) di uji dengan kemiskinan, tetapi aku lebih khuatir kamu dicuba dengan kesenangan!!". Berapa ramai yang dah tumbang apabila di uji dan dicuba dengan tiga "ta" ini..takhta..harta..wanita..!

Pada teman lah, daripada perabis dekat setengah juta untuk mintak duit dan kekayaan, lebih baik kita bermunajat mintak doa supaya ALLAH berikan keberkatan dan toyyibah kepada kita. Wallahua'lam.

Tepok dada tanya iman ajelah yop!

Adios amigos..grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
13 Syawal 1431
22 Sept 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran di MalaysiaKini bertarikh 22.09.2010)

Munajat royalti di Mekah perlu RM400 ribu

Abdul Rahim Sabri 22 Sep, 10 2:05pm

Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Rakyat menganggarkan sebanyak RM400 ribu diperlukan untuk membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri ke Mekah berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

Pengarah sekretariat Md Zulaimi Kazin berkata jumlah tersebut bagi menampung keseluruhan kos persiapan dan kebajikan, termasuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram bagi tokoh ulama tersebut.

"Sejak dilancarkan pada 2 Syawal yang lalu, kita baru sahaja mendapat tidak sampai RM20 ribu... Kita akan bawa mereka selepas daripada musim haji. Sebaik sahaja visa umrah buka, kita akan pergi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Laman web rasminya www.munajatroyalti.com serta laman Facebook untuk kempen itu, Misi Munajat Royalti Rakyat melaporkan, kempen itu diwujudkan supaya semua rakyat dapat menyatakan sokongan terhadap usaha itu.

Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.

Mengulas lanjut, Md Zulaimi berkata, pihaknya kini sedang mengedarkan dan menjual 'kupon penajaan rakyat' untuk diedarkan kepada anak-anak Kelantan yang berada di dalam dan di luar negeri itu sebagai sokongan kepada tujuan tersebut.

"Sebanyak 100 ribu kupon yang berharga RM10, telah dicetak dan mula diedarkan sejak Isnin lalu," kata Md Zulaimi sambil mengalu-alukan sumbangan daripada sektor koporat.

Selain itu, katanya, usaha sekretariat tersebut telah mendapat sokongan daripada beberapa NGO antaranya, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti (Gegar) dan Persatuan Anak-anak Darul Naim (PERSADA).

Menurutnya, pihaknya telah menentukan identiti 40 ulama dan tok guru pondok yang akan bermunajat dengan di Masjidil Haram antaranya Tuan Guru Husin Ibrahim daripada Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

"Beliau juga bertindak sebagai pengerusi munajat tersebut," katanya sambil menambah bahawa pelancaran tabung tersebut di peringkat Kelantan dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Menurut Md Zulaimi lagi, perlancaran tabung di Lembah Kelang dijadual pada 14 November nanti di Stadium Bangi, Selangor yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini dilaporkan tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini. Jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.

Berikutan itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu

No comments:

Post a Comment