Wednesday, September 1, 2010

Indonesia tewas dalam konfrantasi dengan Malaysia

Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan satu penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia yang bermula dari tahun 1962 hingga 1966. Penentangan ini telah dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana cita-cita tingginya untuk menubuhkan Indonesia Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia terhalang akibat daripada pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Latar belakang

Pada 1961, Kalimantan dibahagikan kepada empat pentadbiran. Kalimantan, sebuah negeri milik Indonesia yang terletak di selatan Kalimantan. Di utara merupakan Kerajaan Brunei dan dua negeri dibawah pentadbiran British; Sarawak dan Borneo Utara British, yang kemudiannya diberi nama sebagai Sabah. Sebagai bahagian dari pengunduran dari pentadbirannya di Asia Tenggara, British cuba menggabungkan pentadbirannya di Kalimantan dengan Semenanjung Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.

Rancangan ini dibantah keras oleh Presiden Indonesia; Presiden Soekarno. Beliau berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah rekaan British, dan penubuhan Malaysia hanya akan memberikan pihak British menguatkan lagi kuasa jajahannya di kepulauan Borneo ini, sehingga memberi ancaman besar terhadap kemerdekaan Indonesia. Filipina juga membuat dakwaan atas Sabah, dengan alasan negeri itu mempunyai hubungan sejarah dengan Filipina melalui Kesultanan Sulu.

Di Brunei, Pemberontak Kalimantan Utara (TNKU) memberontak pada 8 Disember 1962. Mereka melakukan cubaan menculik Sultan Brunei, dan merampas ladang minyak dan menjadikan orang Eropah sebagai tebusan. Sultan Brunei berjaya melepaskan diri dan baginda meminta pertolongan dari British. Baginda mendapat bantuan ketenteraan British, Persekutuan Malaysia dan Gurkha dari Singapura. Pada 16 Disember, Komander Timur Jauh Inggeris (British Far Eastern Command) menyeru bahawa seluruh pemberontakan utama telah berjaya dipatahkan, dan pada 17 April 1963, pemimpin pemberontak ditangkap dan pemberontakan tersebut berakhir.

Filipina dan Indonesia secara rasminya bersetuju untuk menerima pembentukan Malaysia apabila majoriti di daerah yang menghadapai konflik membuat pilihan dalam dalam satu pungutan suara yang dikelolakan oleh PBB. Soekarno pada mulanya mengambil pendirian menyokong penubuhan Malaysia, Menteri luar Indonesia iaitu Dr. Subandrio pernah mengucapkan selamat kepada usaha Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Malaysia. Namun sikap Indonesia telah bertukar dan berusaha menentang keras penubuhan Negera Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang bebas. Soekarno ternyata mempunyai ego yang kuat sehingga sanggup menghina dan mengutuk Malaysia secara terus menerus dalam Sidang Kemuncak yang diadakan di Manila. Selain daripada kritikan yang keras, beliau juga bertindak memutuskan hubungan politik, ekonomi dan sosial dengan Persekutuan Tanah Melayu.
“ Semenjak demonstrasi anti-Indonesia di Kuala Lumpur berlaku, para penunjuk perasaan mengepung bangunan Duta Indonesia, dan bertindak mengoyakkan gambar Soekarno dan membawa lambang negara Indonesia Garuda Pancasila di hadapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan menyuruh beliau untuk memijak lambang Garuda. Tindakan penunjuk perasaan anti-Indonesia yang melakukan perbuatan sedemikian telah menimbulkan kemarahan Soekarno ke atas Malaysia. ”

Soekarno yang berang akibat tindakan itu mengutuk perbuatan Tunku yang memijak-mijak lambang negara Indonesia[1] dan beliau ingin membalas dendam dengan melancarkan gerakan yang terkenal dengan nama Ganyang Malaysia.(Namun hal ini dinafikan oleh Tunku, malah beliau sendiri mempersoalkan tindakan segelintir penunjuk perasaan memijak-mijak lambang tersebut.

Dalam usaha Sukarno yang menentang penubuhan Negara Malaysia, beliau juga telah memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962 yang bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia. Sukarno telah melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’pada akhir 1963. Konfrantasi Sukarno telah berubah dari sekadar perang kata-kata menjadi konfrantasi ketenteraan, hal ini berlaku selepas Suruhanjaya khusus PBB yang dibentuk untuk mengumpul pendapat rakyat setempat tentang pembentukan Malaysia. Sukarno menjadi semakin tersinggung apabila Tunku mengumumkan terbentuknya Malaysia sebelum Komisi PBB itu mengumumkan hasil siasatannya.

Pada 1964, gerila Indonesia mulai menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia. Pada bulan Ogos, enam belas ejen bersenjata Indonesia ditangkap di Johor. Aktiviti tentera Indonesia di sempadan meningkat. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia mengerahkan Angkatan Tentera Malaysia termasuk Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Askar Wataniah bersiap sedia untuk menangani ancaman ganas Indonesia, Tentera Laut Diraja Malaysia dikerah untuk mempertahankan perairan Malaysia. Keanggotaan pasukan tentera Malaysia hanya sedikit yang dikerah dan diletakkan dibahagian pos kawalan sempadan dan kawalan unit komando. Misi utama mereka adalah untuk mencegah pencerobohan gerila Indonesia ke Malaysia. Selain pasukan tentera, kerajaan Persekutuan Malaysia turut menghantar sepasukan polis dari pelbagai cawangan untuk membantu pasukan tentera mempertahankan tanahair. Cawangan Tugas Am, Sukarelawan Polis dan Polis Bantuan ditugaskan untuk mengawal dan membuat rondaan dikampung-kampung dan dikawasan bandar. Sekatan jalanraya dengan pihak tentera dijalankan dengan ketat dan pemeriksaan ke atas orang awam turut dijalankan bagi memastikan tiadanya ejen Indonesia yang menyusup masuk ke dalam bandar dan kampung-kampung dengan menyamar sebagai orang awam. Cawangan Khas ditugaskan untuk membantu Kor Risik Diraja melakukan tugas risikan terhadap kegiatan dan aktiviti subversif yang dilakukan oleh tentera Indonesia, manakala Pasukan Polis Marin membantu Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan tugas rondaan diperairan negara serta Pasukan Polis Hutan diaturgerakkan bersama tentera darat memburu gerila Indonesia yang menyusup masuk ke dalam hutan. Pada 16 Ogos, sepasukan Rejimen Askar Melayu Diraja berhadapan dengan lima puluh orang gerila Indonesia.

Meskipun Filipina tidak turut serta dalam kempen tersebut, namun mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Persekutuan Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Brunei menolak gabungan dengan Malaysia dan Singapura keluar di kemudian hari.

Ketegangan berlaku di kedua belah pihak di Selat Melaka. Dua hari kemudian para perusuh membakar kedutaan Britain di Jakarta. Beratus-ratus perusuh menyerbu kedutaan Singapura di Jakarta dan juga rumah diplomat Singapura. Di Malaysia, ejen Indonesia ditangkap dan wartawan media massa menyerang kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Di sempadan Kalimantan, telah berlakunya pertempuran dikawasan sempadan; gerila Indonesia dan pasukan separa tenteranya cuba menceroboh Sarawak dan Sabah, tetapi gagal. Sebahagian besar pihak yang terlibat konflik bersenjata dengan Indonesia adalah askar Britain dan Australia, terutama sekali pasukan khas mereka iaitu Special Air Service(SAS). Dianggarkan, seramai 2000 komando Indonesia (Kopassus) dan 200 anggota SAS British, Australia dan New Zealand terbunuh setelah bertempur di hutan Kalimantan dengan Truper James Condon dari anggota 22 SAS British menjadi korban pertama dalam pertempuran tersebut.

Pada 17 Ogos, pasukan payung terjun mendarat di pantai barat daya Johor dan cuba membentuk pasukan gerila. Pada 2 September 1964, pasukan payung terjun mendarat di Labis, Johor. Pada 29 Oktober, 52 anggota tentera mendarat Indonesia di Pontian di sempadan Johor-Melaka, tetapi ditangkap oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja dan New Zealand, manakala yang selebihnya berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Hutan di Batu 20, Muar, Johor.

Konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia menjadi semakin tegang apabila Malaysia terpilih sebagai anggota tidak tetap PBB pada bulan Disember 1964. Sebagai protes kepada penyertaan Malaysia menjadi anggota PBB, Indonesia telah menarik diri daripada keanggotaan PBB pada Januari 1965.

Sebagai tandingan Olimpik, Soekarno turut menyelenggarakan GANEFO (Games of the New Emerging Forces) yang diselenggarakan di Senayan, Jakarta pada 10-22 November 1963. Pesta olahraga ini disertai oleh 2,250 atlet dari 48 negara di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan, serta didatangi oleh 500 orang wartawan asing.

Pada Januari 1965, Australia bersetuju untuk menghantar pasukan tenteranya ke Kalimantan setelah mendapat permintaan dari Malaysia. Tentera Australia menghantar 3 Rejimen Diraja Australia dan Rejimen Australian Special Air Service. Dianggarkan seramai empat belas ribu pasukan tentera British dan Komanwel di Australia pada ketika itu. Secara rasminya, tentera British dan Australia tidak dapat melakukan serangan melalui sempadan Indonesia. Tetapi, unit seperti Special Air Service, baik British mahupun Australia, menyusup masuk secara rahsia (lihat Operasi Claret). Australia melakukan penyusupan ini pada 1966.

Pada pertengahan 1965, Indonesia mula menggunakan pasukan rasminya setelah kesemua pasukan komando dan sukarelawan yang melakukan penyusupan di Malaysia gagal. Pada 28 Jun, mereka menyeberangi sempadan ke timur Pulau Sebatik berhampiran Tawau, Sabah dan cuba melakukan serangan dan sabotaj ke atas kem Rejimen Askar Melayu Diraja di Tawau, namun cubaan itu gagal kerana kem itu berhampiran dengan balai polis dan disedari oleh anggota-anggota polis di situ dan berjaya mematahkan cubaan itu.
[sunting] Akhir konfrontasi

Menjelang akhir 1965, Jeneral Soeharto memegang tampuk pemerintahan Indonesia setelah berlakunya rampasan kuasa. Oleh kerana konflik dalaman negara, keinginan Indonesia untuk meneruskan konfrontasi dengan Malaysia berkurangan dan peperangan telah reda.

Pada 28 Mei 1966, sebuah rundingan dilakukan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan Indonesia mengumumkan perdamaian setelah Soeharto menghantar Adam Malik sebagai wakil untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman. Kekerasan berakhir pada bulan Jun, dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos dan dirasmikan dua hari kemudian. Penghancuran PKI dan elemen-elemen politik kiri, termasuk Soekarno telah menyebabkan perubahan mendadak dalam kestabilan politik Indonesia pada tahun 1965. Indonesia secara rasminya mengakhiri konfrantasi terhadap Malaysia pada tahun 1967.

1 comment: